Braille ialah satu bentuk tulisan yang dicipta oleh Louis Braille, seorang pencipta dari Perancis yang hidup pada separuh pertama abad ke-19. Pada usia tiga tahun, beliau menjadi buta sepenuhnya dan memerlukan banyak bantuan daripada keluarga dan rakan-rakan untuk meneruskan pelajarannya.
Apabila dewasa, Braille bertekad untuk memudahkan pembelajaran bagi kanak-kanak buta dengan membolehkan mereka membaca dan menulis. Oleh kerana orang buta tidak dapat melihat huruf abjad, beliau berpendapat, mengapa tidak menjadikan huruf-huruf itu boleh dirasa?
Sistem yang beliau cipta dikenali sebagai Braille. Setiap huruf diwakili oleh susunan 6 titik timbul yang berbeza. Hanya enam titik menjadi asas kepada keseluruhan sistem, disusun dalam dua baris selari mengandungi tiga titik dalam satu sel bersaiz tujuh milimeter kali empat milimeter. Ia kelihatan seperti corak pada domino.
Gabungan titik-titik ini menghasilkan 63 pola berlainan yang membentuk 26 huruf abjad, 10 tanda baca, angka, dan juga singkatan.
Terdapat beberapa versi sistem Braille:
Gred 1, Mengandungi 26 huruf abjad standard dan tanda baca. Ia hanya digunakan oleh individu yang baru mula belajar membaca Braille.
Gred 2, Mengandungi 26 huruf abjad standard, tanda baca dan juga singkatan. Singkatan digunakan untuk menjimatkan ruang kerana satu halaman Braille tidak dapat memuatkan sebanyak teks seperti halaman bercetak biasa. Buku, papan tanda di tempat awam, menu dan kebanyakan bahan Braille lain ditulis dalam Braille Gred 2.
Gred 3, Hanya digunakan untuk surat peribadi, diari dan nota. Ia merupakan sejenis tulisan ringkas, di mana keseluruhan perkataan diringkaskan kepada beberapa huruf sahaja.