Jika anda bertemu dengan seorang individu buta buat kali pertama, anda mungkin tertanya-tanya bagaimana harus anda berkelakuan. Nasihat yang biasa didengar seperti ‘berkelakuan secara normal’ mungkin tidak begitu membantu. Berikut adalah beberapa cadangan, kebanyakannya daripada individu buta sendiri, untuk membantu anda dan rakan-rakan berasa lebih selesa.
OKU Penglihatan
Individu OKU penglihatan datang daripada pelbagai latar belakang. Terdapat atlet lelaki dan wanita buta, petani dan pemain catur, guru dan jurutaip, peguam dan suri rumah, pengaturcara komputer dan tukang urut, pekerja sosial dan operator telefon.
Dalam Perbualan
Bercakaplah secara semula jadi. Jangan bercakap secara merendahkan, atau bercakap hanya kepada teman mereka seolah-olah individu buta itu tiada di situ. Jangan takut untuk berkata “Gembira berjumpa dengan awak”. Individu buta juga sering menggunakan ungkapan ini.
Apabila anda mendekati individu buta dan memberi salam, nyatakan siapa anda supaya mereka boleh mengecam suara anda. Sebut nama mereka jika anda tahu. Jika tidak, sentuhan ringan boleh membantu menunjukkan siapa yang sedang bercakap.
Sebelum anda beredar, beritahu bahawa anda hendak berundur. Sesiapa sahaja pasti rasa janggal jika bercakap dengan ruang kosong.
Di Jalanan
Ramai individu buta menghargai bantuan untuk melintas jalan atau mencari kedai. Jika tawaran anda ditolak, jangan terasa hati. Orang buta yang seterusnya mungkin sangat menghargai bantuan anda.
Mula-mula, tanya dahulu sama ada mereka perlukan bantuan. Kemudian berjalan sedikit di hadapan, dan biarkan mereka memegang lengan anda. Jika anda membantu mereka masuk ke dalam kereta, beritahu arah hadapan kereta itu, dan letakkan tangan mereka di atas bumbung berdekatan pintu yang terbuka.
Jika anda membantu mereka menaiki bas atau kereta api, anda harus naik terlebih dahulu. Jangan sesekali menolak mereka dari belakang.
Ingat: Sentiasa beri amaran jika anda menghampiri tangga atau laluan curam, dan beritahu sama ada ia menurun atau menaik.
Di Dalam Bangunan
Jangan terlalu risau tentang perabot atau barang hiasan yang mudah pecah. Kebanyakan individu buta boleh bergerak dengan baik tanpa merosakkan apa-apa. Tunjukkan susun atur bilik dan terangkan kedudukan perabot sambil berjalan bersamanya, terutama halangan di paras kepala.
Untuk membantu mereka duduk, letakkan tangan mereka pada bahagian belakang atau lengan kerusi dan mereka akan dapat mencari tempat duduk dengan mudah.
Jangan biarkan pintu separuh terbuka, dan jangan tinggalkan barang berselerak di atas lantai apabila mereka berkunjung ke rumah anda.
Jika andalah yang menjadi tetamu, jangan ubah susun atur rumah kecuali benar-benar perlu. Dan jika perlu berbuat demikian, beritahulah di mana anda meletakkan barang tersebut.
Apabila anda menjemput individu buta untuk makan, nyatakan jenis makanan yang anda hidangkan. Jangan isi cawan atau gelas hingga penuh – cawan yang terlalu penuh mudah tertumpah. Jika anda menghidangkan ikan yang banyak tulang, tawarkan diri untuk membuang tulang terlebih dahulu.
Walau bagaimanapun, tetamu anda akan memberitahu jika mereka perlukan bantuan – kebiasaannya mereka boleh menguruskan sendiri dengan baik.